[PETUA] Hafiz Minum Kicap Pekat!


[PETUA] Hafiz Minum Kicap Pekat!

PENCAPAIANNYA dalam industri muzik tempatan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kemerduan dan kelantangan suara yang dimiliki penyanyi remaja, Hafiz Suip nyata mampu membawa karier nyanyiannya sehingga ke tahap yang membanggakan.

Bagi meneruskan kejayaan itu, Hafiz kini tampil dengan buah tangan terbarunya berjudul Luahan Hati Anak Seni, yang merupakan album ketiganya.

Album yang berkonsep 'mini magazine' ini mempertaruhkan sembilan buah lagu ciptaan komposer dan penulis lirik hebat Malaysia dan Indonesia seperti Ajai, LY dan Baiduri, Kuncidemak, serta Satriyaa Anggun.

"Secara keseluruhannya, genre lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah balada. Penghasilan album ini adalah khas buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong karier saya.

"Selain peminat, saya turut menghargai sokongan keluarga yang sentiasa membantu saya sejak awal. Oleh itu, dengan penghasilan album ini saya mahu dikenali sebagai Hafiz Suip kerana mahu berkongsi kejayaan ini bersama mereka," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya, kelmarin.

Tambah Hafiz, banyak pengalaman dan cabaran baru yang ditimba sepanjang proses penghasilan album tersebut dijalankan. 

"Gara-gara demam dan tiada suara semasa proses rakaman di Indonesia, atas cadangan krew di sana saya terpaksa minum kicap pekat yang dicampur dengan perahan limau nipis.

"Alhamdulillah, petua itu berkesan dan saya dapat sempurnakan proses rakaman dengan baik," katanya tersenyum gembira.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Bahagiamu Deritaku, Mungkinkah, Hanya Ingin Kau Cinta, Deklamasiku, Kesimpulan, Patah Hati, Satu Cerita, Muara Hati dan Matahari.

Walaupun telah berjaya menghasilkan dua album sebelumnya, nyata kemunculan Luahan Hati Anak Seni kali ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri apabila Hafiz telah menyumbang dua buah lagu ciptaannya sendiri.

"Dalam album ini saya ada cipta dua buah lagu iaitu Deklamasiku dan Mungkinkah. Saya akui penghasilan dua lagu ini adalah berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri.

"Boleh dikatakan semua lagu yang ada dalam album ini adalah luahan hati saya sendiri tentang pengalaman hidup dan pengalaman pahit saya dalam bercinta," jelasnya.


sumber: http://www.sinarharian.com.my/

0 comments:

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post Terbaik KakiTulis Minggu Ini

Search Blog KakiTulis

 

Copyright © 2010 kakitulis dotcom, All Rights Reserved. Design by DZignine