[MESTI BACA] Keputihan Atau Air Ketuban



[MESTI BACA] Keputihan Atau Air Ketuban

Keputihan atau lelehan faraj yang lebih banyak daripada biasa adalah normal bagi wanita hamil. Lelehan yang sihat bersifat cair dan berwarna seperti susu. Tetapi jika anda mengalami keputihan, iaitu pengeluaran lelehan pekat, berwarna putih seperti krim, terdapat kegatalan, sakit atau warna kemerah-merahan di dalam atau sekeliling faraj atau punggung anda, merasa sakit apabila bersama suami dan rasa sakit apabila membuang air kecil, simptom sebegini adalah disebabkan jangkitan.
Lelehan yang keluar dari faraj mungkin disebabkan lendir atau keputihan dan juga air ketuban yang pecah.

PUNCA
Jangkitan pada bahagian faraj agak biasa berlaku semasa hamil. Keputihan diakibatkan oleh kulat mikroskopik atau yis yang dipanggil candida albicans. Kulat ini ada di dalam badan setiap orang. Ia merupakan sebahagian daripada sistem penghadaman kita atau secara umumnya, bakteria dalam badan mengawalnya. Biasanya ia hidup dalam faraj tanpa memudaratkan dan anda mungkin tidak tahu ia berada dalam badan anda.
Namun, ia menjadi satu masalah apabila terdapat ketidakseimbangan di antara jumlah kulat yis dan mikro organisma lain dalam badan kita. Anda lebih berkemungkinan mengalami keputihan jika hamil. Semasa hamil, faraj kita mengandungi gula yang tinggi yang dipanggil glikogen dan ini menggalakkan pertumbuhan kulat. Seseorang wanita juga mudah mengalami masalah ini jika anda memakai pakaian yang ketat atau yang diperbuat daripada bahan sintetik, seperti seluar jeans atau seluar dalam daripada nilon. Pakaian seperti ini panas dan menghalang peredaran angin lantas menggalakkan pertumbuhan keputihan.

BERJUMPA DOKTOR
Jika anda mengalami keputihan, beritahulah doktor anda. Jangan menderita dalam diam. Doktor anda mungkin akan memeriksa kawasan di sekitar faraj untuk mengenal pasti masalah sebenarnya. Jika beliau tidak pasti sama ada itu adalah keputihan, beliau akan mencadangkan ujian makmal dilakukan di mana sedikit cairan akan diambil daripada faraj dan dihantar ke makmal.
Doktor anda mungkin akan memberi ubat jenis pessari atau krim anti kulat yang sesuai digunakan pada tahap kehamilan anda. Anda mungkin memerlukan rawatan penuh selama tujuh hari untuk menghapuskan keputihan dengan sempurna. Walau bagaimanapun, jika anda dalam trimester pertama, doktor anda mungkin tidak mahu memberikan apa-apa ubat pada ketika itu.
Keputihan boleh jadi sukar untuk dihapuskan apabila anda hamil. Rawatan yang berkesan bagi wanita yang tidak hamil mungkin tidak berkesan pada anda. Bincanglah dengan doktor anda sebelum menggunakan apa-apa ubat yang boleh dibeli di pasaran. Ia bukan sahaja mahal, malah tidak semestinya berkesan dan mungkin tidak sesuai digunakan semasa hamil. Jangan ambil ubat yang anda harus telan untuk merawat keputihan. Kita masih belum tahu sama ada ia selamat diambil ketika hamil.

KESAN KE ATAS BAYI
Bayi anda selamat dan terlindung di dalam rahim dan tidak terjejas sama sekali. Jika anda mengalami jangkitan semasa sakit bersalin, ada sedikit kemungkinan yang bayi akan dijangkiti apabila dia melalui faraj anda ketika keluar daripada rahim. Jika bayi yang baru lahir mengalami keputihan, anda akan melihat tompokan putih di mulutnya. Jika anda menyusu badan, kedua-dua ibu dan bayi memerlukan rawatan kerana keputihan ini boleh merebak ke payu dara anda juga.
Anda mungkin dapati keputihan datang dan pergi sepanjang kehamilan. Walaupun ia mengambil masa untuk dihapuskan dan agak tidak selesa, ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan sangat.




1 comments:

{ Vee Sandi } at: 28 January 2014 at 21:16 said...

info yg sangat bermanfaat . thanks .

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post Terbaik KakiTulis Minggu Ini

Search Blog KakiTulis

 

Copyright © 2010 kakitulis dotcom, All Rights Reserved. Design by DZignine